Hikmah Sakit

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Kesihatan terjejas

Sejak Ahad, sudah 8 kali saya muntah-muntah. Masuk hari Rabu, lebih kurang 13 kali. Isi perut sudah kosong. Yang keluar hanya asid-asid hijau yang sudah tak betah duduk di tempatnya.

Tak boleh masuk sebarang makanan pun. Kepala masuk angin, perut dah gastrik. Yang pasti, apabila makan, semuanya keluar semula. Oh, Tuhan! Ku tidak tahu punca…

Sehinggalah klimaks, pada malam Selasa, saya meminta bantuan kawan serumah untuk ke Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, BBB selepas waktu maghrib. Dengan keadaan longlai, saya dimasukkan air sebagai penambah tenaga (air garam). Dengan izin, jururawat menyuntik ubat tahan muntah pada saluran air itu.

Sekali lagi, kesan ubat membuat saya bertambah pening sehinggakan visual menjadi kabur dan kedudukan pandangan mata tidak fokus. Pandangan melayang dan sangat silau.

Jururawat menasihatkan saya apabila saya mula tidak tenteram dengan pandangan yang semakin goyang. “Ingat Allah dik… Istighfar.”

Di corong telefon saya mengadu kepada mak dan ‘Uyun. Kepada mak saya pohonkan supaya doakan kesihatan saya beransur pulih dengan segera. Banyak kerja saya terbengkalai! Ouh!

Beberapa sahabat ucapkan kata-kata semangat. Dan acapkalinya, mereka merasakan saya terlalu penat dan terlalu stress. Mungkinkah itu puncanya?

Ataupun kerana terlalu terkejut? Kerana pada malam Ahad itu, saya terserempak dengan kemalangan jalanraya yang mengerikan yang menyebabkan saya sendiri hampir-hampir telanggar serpihan mayat/bangkai kenderaan yang terbabit! Astaghfirullah… Saya lemah semangat…

Betulkah itu puncanya? Adakah terlalu banyak dosa??? Astaghfirullah… Ya Allah, ampunkan dosaku yang terlalu banyak ini… Kepala saya ligat mencari kesalahan diri…

Sesungguhnya aku redha dengan ujian ini ya Allah.

“Bismillahi lazi la yadurru ma’as mihi syai’un fil ard, wala fissama’i wahuassami’ul ‘alim…” Saya baca berulang-ulang supaya saya berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

Redha. (Gambar Hiasan)

Saya legakan hati bila kawan mengingatkan, sakit ini menghapuskan dosa-dosa kecil.

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”

(HR. Bukhari-Muslim)

Saya ambil petikan artikel daripada saudara Zaldy Munir.

“Setiap orang pasti pernah mengalami sakit. Rasulullah SAW sendiri mengalami sakit demam berat. Namun begitu Nabi tetap sabar dan tabah. Beliau mengatakan kepada Ibnu Mas’ud ra, bahawa penyakit yang datang ke dalam tubuh seorang Muslim itu dapat menggugurkan dosa sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”

“Dalam waktu lain, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda. “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.””

“Rasulullah pun melarang untuk mencela penyakit. Ketika Ummu Saib sakit demam dan mencela penyakit yang menimpanya, Nabi bersabda. “Janganlah kamu mencela demam. Karena sesungguhnya demam itu menikis kesalahan anak cucu Adam sebagaimana bara api mengikis keburukan besi.” (HR. Muslim)”

Berubat

Berubat adalah proses

Alhamdulillah, dikurniakan teman sekeliling yang amat prihatin, saya dijaga baik oleh rakan sekampung dan rakan serumah.

Saya cuba mengurangkan pengambilan pil yang diberi doktor. Hanya makan ubat bila betul-betul pening sahaja. Selainnya, saya banyakkan minum milo dan horlicks panas, madu, dan mengambil makanan tambahan, Scott’s Emulsion. Saya juga menggunakan Cool Fever untuk dewasa bagi mengurangkan suhu badan. Baru tiga hari, berat badan saya turun 3 kilo!

Diri ini digagahkan ke rumah Cik Mah (Sek. 2, BBB) untuk berurut. Badan terlalu lemah dan tak berdaya. Segar sedikit setelah itu.

Pada senggang masa ketika di pejabat, saya telah ke Darrusyifa’ (Sek. 1, BBB) untuk mengambil air. Dengan bantuan ustaz (tak tahu nama) yang merawat, saya mencari ikhtiar untuk memulihkan semangat. Ustaz membekalkan saya sebotol air doa dan sepeket daun bidara.

Ustaz tersebut sempat berpesan, sekiranya hendak keluar rumah, bacalah

“Bismillahi lazi la yadurru ma’as mihi syai’un fil ard, wala fissama’i wahuassami’ul ‘alim…”

Sekiranya kita baca dalam keadaan tersekat-sekat, tangguhkan untuk keluar rumah beberapa ketika. Sekiranya hati dah kembali tenang, bacanya semula dan keluarlah dari rumah.

Menambahbaik Prestasi Menjaga Kesihatan

Jom post-mortem!

Saya sudah masuk ke pejabat pada Khamis lepas. Syukur Alhamdulillah, kini badan bertambah sihat dan sudah berjaya makan perlahan-lahan. Kalau sebelum ini, hanya bubur sahaja berjaya menembusi anak tekak, kini saya sudah boleh makan nasi lembut berlauk.

Saya betul-betul mahu ambil iktibar daripada episod hidup kali ini. Saya berazam untuk merombak dan menambah baik struktur pemakanan. Saya menggariskan beberapa perkara buat panduan diri.

1. No more ICE!

2. Bawak air masak setiap masa, ke mana-mana.

3. Ambil madu dan Scott’s Emulsion di pagi hari dan sebelum tidur.

4. Gunakan permata hijrah untuk mengurangkan silau mata, pening kepala, dan resdung.

Hikmah Sakit

Dalam sebuah buku yang berjudul Yasalunaka fi al-Dinwa al-Hayat dan dikutip dalam Tabloid Syiar, Dr. Ahmad al-Syurbasi, beliau menulis lima hikmah sakit yang dialami manusia.

Pertama, sakit adalah ruang untuk manusia berehat. Ketika sakit, memang kita tidak dapat berbuat apa-apa. Terlantar sahaja. Namun hikmahnya, organ-organ yang membantu kita berkerja selama ini cuba untuk mendapatkan rehat yang cukup.

Umpama enjin yang terlalu lama hidup akan jadi panas. Ia perlu diberhentikan sekejap untuk sejuk dan kemudian dihidupkan kembali.

Biarkan badan dan emosi kita haknya, iaitu rehat yang cukup.

Kedua, sakit merupakan pendidikan. Ketika seseorang mengalami sakit parah, dia akan menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan.

Biar apapun, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia bisa kembali pulih seperti biasa, menjalani kehidupan normalnya.

Selain itu, saya juga belajar tentang erti persahabatan. Kerana sahabat yang baik tidak akan bersama kita pada waktu senang sahaja. Saya cukup terjaga. Thanks to my dear Mom, ‘Uyun, Shida, Aini, Mai! I love you all! Thanks for other’s support! (^_^)v

Ketiga, sakit merupakan teguran dari Allah s.w.t. Barangkali kita alpa dengan sesuatu dan asyik dengan sesuatu sehinggakan terabai dalam menjaga hubungan kita dengan Dia.

Ketika sihat, seolah-olah tidak beringat dengan kesakitan. Ketika kaya, seolah-olah lupa pada yang kurang upaya. Ketika terlalu seronok, tidak endah pada kesengsaraan orang lain. Ketika berkuasa, seolah-olah dialah yang paling gagah perkasa. Manusia mudah lupa!

Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara.

Kita diuji dengan apa yang kita cakapkan dan kita diuji dengan apa yang kita lakukan.

Keempat, sakit memberikan kesempatan untuk bertaubat dan menghapus dosa. Ruang ini selalu menjadikan manusia berfikir kembali dan bermuhasabah dengan tindak-tanduknya sendiri. Jarang sekali kita dapat bermuhasabah tatkala hati dilonjak gembira.

Jadi, inilah masa yang ideal agar dapat kita toleh kembali kesilapan dan seterusnya bertaubatlah pada yang Khaliq. Mohonlah sesungguhnya agar segala dosa kita diampun Tuhan. Dan merayulah pada-Nya agar kita dimudahkan segala urusan yang membelitkan, diberi kesenangan dan kesihatan tubuh badan.

Dalam hadis ada diterangkan,

Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan kekusutan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Muttafaq Alaih).

Kelima, sakit juga memberikan kesempatan untuk memperbaiki hubungan keluarga dan sosial. Ketika seseorang itu sakit, maka akan ada kerabat dekat akan semakin dekat, kerabat jauh akan menjadi dekat dan yang kenal akan semakin akrab.

Ketika si anak kurang sihat, ibu dan ayahnya yang menjaga dan memelihara kesihatan anaknya. Pun begitu, sekiranya ayah atau ibu kurang sihat, si anak akan kembali kepada orang tuanya dan memberikan keprihatinan yang optimum untuk membalas kembali jasa mereka.

Alangkah Besarnya dan Mulianya Allah s.w.t. yang menjadikan begitu banyak hikmah sakit daripada hanya satu sakit. Akan tetapi jarang sekali kita fikir-fikir dan renungkan.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita tidak tahu…

Ceritawara

Saya bukannya menulis untuk menulis cerita yang sedih-sedih belaka. Anggaplah anda harus belajar sesuatu di sini. Kerana saya juga suka belajar daripada pengalaman dan kisah-kisah teladan yang ada.

Hidup seperti program, selesai program, kita buatlah post-mortem. InsyaAllah, faedahnya besar kerana Allah takkan turunkan sesuatu yang sia-sia…

Saya juga perlu ubah prinsip berkerja. PUSH TO THE LIMITS tidak boleh digunapakai lagi. Saya perlu belajar rehat dan relax.

I dare to learn my dear (healthy), no problem! (^_^)

Saya berasa lega apabila mengeluar apa yang tersulam di minda ini. Sesungguhnya kekusutan terkadang terlerai begitu sahaja dengan penulisan spontan… Kalaupun seperti bercerita pada orang yang tidak faham, pun tak mengapa… Saya ikhlas bercerita…

Ambillah sedikit waktu...

YaQeen Ahmad : Nak kena kurangkan ais dalam hati juga.

2 Respons to “Hikmah Sakit”

  1. fauziah Says:

    Benar kita lupa pada Ilahi seketika mana kita dalam keseronokan tanpa apa-apa masalah. Namun tika ditimpa kemaslahatan, kita keluh kesah menyalahkan “beban” yang menimpa diri. Walhal ia adalah ujian dari AllahSWT sebagai hukuman atas kealpaan sendiri. Jika ketaqwaan tidak menebal, rosaklah jiwa kita yang menghancurkan seluruh hidup. Kembali kepada AllahSWT yang telah meminjamkan nyawa kepada kita..AllahSWT Maha Pengasih, Pengampun..kita saja hambaNya yang tidak pernah bersyukur..SubhanakAllah hummawabihamdik.

  2. Adenk Rosfaizal Roshidi Says:

    Syukur Diatas Kurnia Allah SWT . . .


Tinggalkan komen