Nota : Tanggungjawab suami dan isteri

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Nota Wajib Baca : YaQeen Ahmad (22/12/09, Tmn. Bukit Mutiara, BP)

Tanggungjawab seorang isteri kepada suaminya


Taat

Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.

Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Sekiranya aku ini orang yang menyuruh mana-mana orang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya” – HR Abu Daud dan al-Hakim.

Isteri hendaklah mematuhi perintah si suami asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Andainya suami menyuruh melakukan dosa maka isteri dibenarkan membantah. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak boleh mentaati mahkluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT” – HR Ahmad.

Setelah berkahwin, suami mempunyai hak ke atas isteri. Oleh sebab itu, jika isteri ingin keluar rumah atau berpuasa sunat, dia hendaklah meminta izin daripada suami. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak halal bagi sesorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa, sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu” – HR al-Bukhari, Muslim dan Ahmad Ibn Hanbal.

Larangan berpuasa tanpa keizinan suami ini diwujudkan kerana dikhuatiri si isteri tidak dapat melayan kemahuan si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.

Melayan suami

Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan agar dia melayan kehendak suaminya. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi dia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh” – HR sebahagian Ahli Sunnah.

Untuk mengelakkan daripada digolongkan ke dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.

Mengurus rumahtangga

Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.

Apabila si suami memberi wang perbelanjaan kepada si isteri, maka si isteri mestilah berbelanja dengan bijak serta tidak membazir-bazirkan wang pemberian suaminya. Si isteri hendaklah berbelanja mengikut keperluan dan bukannya dengan hawa nafsu. Si isteri mestilah memahami keadaan ekonomi suami yang sibuk mencari nafkah untuk keluarganya.

Oleh sebab itu, si isteri hendaklah membuat perbelanjaan keluarganya dengan bijak supaya tidak ada perbelanjaan melebihi pendapatan. Maka, si isteri hendaklah berjimat-cermat dalam membuat pembelian supaya suami isteri itu hidup dalam serba kesederhanaan sahaja. Tanggungjawab Bersama.

Pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab untuk menyelia segala pengurusan rumah itu. Suami pula diharapkan dapat membantu si isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerjasama daripada kedua-dua belah pihak, maka akan wujudlah sebuah keluarga bahagia serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka.

Menjaga maruah diri, suami dan keluarga

Sebagai seorang isteri, dia hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.

Firman Allah: (Hai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan Jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah maha Pengampun lagi maha Penyayang.”) – Al-Ahzab; 59.

Seperti juga tanggungjawab si suami terhadap si isteri, segala kecacatan yang ada pada si suami hendaklah dirahsiakan. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan aib timbul yang boleh menjurus kepada perbalahan. Sudah tentu perbalahan seperti ini perlu dielakkan kerana ia boleh mengganggu pembentukan keluarga bahagia.

Mnyenangkan hati suami

Apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Si isteri tidak boleh meminta-minta hadiah daripada si suami yang melebihi daripada kemampuannya. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu.

Dalam pepatah Arab ada menyebut: “Accept the little I may give you, my love for you will grow deeper, and raise not your voice in my presence, especially when I am in a moody crisis” – (Imam al-Ghazali).

Untuk menyenangkan hati si suami melihat isteri, maka si isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik. Ketika berada di dalam rumah, si isteri perlulah mengenakan solekan yang sewajarnya agar suami tertarik hati melihatnya. Si isteri juga hendaklah memakai wangi-wangian yang boleh menarik perhatian si suami.

Seorang perempuan tua Arab ada menasihatkan anaknya pada hari perkahwinannya: “Oo my daughter! You are leaving the home in which you were brought up for a house in which you brought up for a house unknown to you and to a companion unfamiliar to you. Be a floor to him, he will be a roof to you; be a soft seat to him, he will be a pillar for you; and be like a slave girl to him and he will be a slave boy to you.

Avoid inopportune behaviour, least he should be bored with you; and be not aloof lest he should become indifferent to you. If he approaches you, come running to him; and if he turns away, do not impose yourself upon him. Take care of his nose, his eye and his ear. Let him not smell except a good odour from you; let not his eye see you except in an agreeable appearance; and let him hear nothing from you except nice, fine words” – (Imam al-Ghazzali).

Pendorong dan memberi motivasi

Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabat dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi ‘teman hidup’. ika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.

Dalam sesebuah institusi keluarga, ahli-ahlinya perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang sedemikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri.

Kedua-duanya perlulah mendalami ilmu fardu ain. Ini adalah perlu kerana ilmu ini merupakan panduan untuk mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Kita juga wajib menuntut ilmu sampai ke liang lahad. Dengan mempelajari lebih banyak ilmu fardu ain, suami isteri dapat menghayati kehidupan Islam lebih bermakna lagi.

Untuk menyelesaikan apa juga masalah keluarga, suami isteri perlulah sentiasa berbincang demi kebaikan bersama. Perbincangan adalah lebih baik daripada bersikap autokratik kerana kata sepakat dapat dicapai untuk kebaikan bersama dan tidak untuk kepentingan satu pihak sahaja.

Malah, dengan perbincangan juga suami isteri boleh mendapat ilham baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing, kadang-kadang kita memerlukan pertolongan dalam hal-hal kebajikan.

Isteri kadang-kadang memerlukan pertolongan si suami untuk membuat kerja-kerja rumah. Dalam hal sebegini, adalah perlu bagi pasangannya untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pasangannya supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul.

Apabila seorang daripada mereka melakukan perkara yang ditegah, adalah menjadi tanggungjawab pasangannya untuk menegur kesilapan yang telah dilakukan. Suami isteri hendaklah saling tegur menegur dan menghalang pasangan masing-masing daripada melakukan kemungkaran, sebaliknya melakukan lebih banyak hal-hal kebajikan.

Kedua-duanya perlulah bersikap jujur dan selalu menepati janji antara satu sama lain kerana perkahwinan dianggap sebagai satu institusi yang mana ahli-ahlinya perlulah saling percaya mempercayai antara satu lama lain tanpa perlu berbohong atau menyimpan rahsia. Oleh sebab itulah maka suami isteri hendaklah bersikap terbuka dan berterus terang dalam banyak hal tanpa menyembunyikan kebenaran.

Suami isteri perlulah saling memaafkan dan menasihati kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Ini adalah penting kerana tanpa sikap pemaaf dan saling tegur menegur ini, maka suami isteri itu akan hidup dalam kekacauan kerana sering melakukan kesilapan tanpa ada orang yang ingin menegurnya ataupun sering berbalah kerana tidak ada sikap pemaaf itu.

Salah satu hikmah berkahwin ini ialah suami isteri dapat melakukan solat berjemaah. Seperti yang diketahui, jika kita solat berjemaah, maka pahala yang diperolehi adalah berganda-ganda daripada solat secara sendiri. Dengan melakukan solat berjemaah ini maka perhubungan ukhwah antara suami isteri dapat dipereratkan.

Yang paling penting dalam kehidupan sebagai suami isteri ini ialah bertawakal kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berumahtangga.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, dapatlah kita lihat bahawa perkahwinan ini adalah penting dalam sesebuah masyarakat kerana keluarga merupakan batu asas dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Untuk melahirkan sesebuah masyarakat yang bahagia, kita perlulah memastikan bahawa ahli-ahli masyarakat itu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Untuk melahirkan masyarakat yang yang kuat, mulia, dan saling bertangungjawab, pembentukan keluarga yang bahagia adalah sangat penting. Oleh sebab itu, adalah penting untuk membentuk sesebuah keluarga bahagia.

Note: Petikan dari laman http://ubmhkpt.blogspot.com

YaQeen Ahmad : Ingin belajar ilmu rumahtangga dengan tenang dan penghayatan…

Tanggungjawab suami di rumah

Utusan Malaysia 31 mac 2002


Tanggungjawab suami uruskan rumah

1001 Kemusykilan Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)
SOALAN:
Saya membaca sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981, halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.

Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.

Soalan saya, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini. Saya harap tuan jelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. – SALMIAH, Seksyen 14, Petaling Jaya.

JAWAPAN:
Saya turut membaca buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor seperti yang disebutkan dalam soalan di atas. Buku ini merupakan himpunan fatwa Almarhum Datuk Syed Alawi al-Haddad (meninggal dunia 1962). Beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Johor (1934-1961).

Pada saya, fatwa mufti itu kurang jelas menyatakan tanggungjawab siapa menjalankan kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak, menyediakan makanan, mengasuh anak, menyidai kain dan sebagainya.

Saya membaca lagi beberapa buah buku yang ada dalam simpanan saya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang perkara itu. Saya dapati, kebanyakan menyatakan kerja-kerja rumah seperti yang disebutkan di atas adalah tanggungjawab suami.

Saya tersentak seketika apabila membaca kerja-kerja seperti itu termasuk dalam senarai kewajipan suami terhadap isteri, di samping nafkah utama yang meliputi makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan.

Kewajipan isteri pula dinyatakan ialah melayani kehendak suami dan menyerahkan tubuh badan kepadanya serta menyahut panggilannya dengan segera bila diperlukan, sekalipun ketika dia sedang memasak di dapur.

Buku-buku itu antara lain menjelaskan lagi, isteri tidak harus berpuasa sunat, kecuali terlebih dahulu memaklum dan mendapat keizinan suami, kerana khuatir nanti suatu panggilan kecemasan akan berlaku, sedangkan dia tidak dapat menyahutnya kerana berpuasa.

Dinyatakan lagi, jika isteri tidur bermalaman, sedangkan dia dengan sengaja tidak melayani kehendak suaminya, maka sepanjang malam itu dia dilaknat Allah dan malaikat.

Kesetiaan isteri terhadap kehendak suami semacam boleh ditafsirkan dengan ada bayarannya, iaitu kerja-kerja rumah seperti mengasuh anak, memasak, membasuh pakaian, menyidai kain dan sebagainya hendaklah dijalankan oleh suami. Kecuali jika isteri dengan rela hati sedia melakukannya.

Saya tidak mempertikaikan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh al-Quran dan hadis-hadis sahih berhubung kewajipan suami terhadap isteri, seperti nafkah makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan yang wajib ke atas suami menyempurnakannya. Manakala kewajipan isteri terhadap suaminya pula hendaklah melayani sepenuhnya kehendak suami sebaik sahaja panggilan dibuat.

Persoalan yang berbangkit ialah mengenai kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak, mengasuh anak, menyidai pakaian dan sebagainya, benarkah ia termasuk antara tugas suami? Isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela atau suami sendiri menyempurnakannya sebagai tanggungjawab terhadap isteri. Begitulah apa yang saya faham daripada buku-buku yang saya baca.

Saya berpendapat hukum ini adalah hasil ijtihad ulama pada beberapa abad terdahulu. Ijtihad boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan zaman, keadaan dan tempat. Ijtihad ulama juga tidak selalunya tepat dan betul, kadang-kadang boleh disanggah oleh ulama melalui ijtihadnya yang dihasilkan pada waktu dan masa yang lain pula. Dalam hadis menyebut: Sesiapa yang silap dalam ijtihadnya maka ia memperoleh satu pahala dan siapa yang betul, akan mendapat dua pahala.

Menurut mazhab Imam Malik, uruf dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat boleh dipakai bagi menurunkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya jika dia suka, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut boleh dijadikan hujah:

Pertama: Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa (al-Baqarah: 228). Ini bermakna suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Saya beranggapan tidak adil jika urusan yang dilakukan di luar rumah seperti mencari nafkah makan minum, kediaman, pakaian, perubatan menjadi kewajipan suami sepenuhnya, kemudian kerja-kerja di dalam rumah juga menjadi kewajipan suami.

Isteri seolah-olah tiada sebarang kerja, selain melayan suami dengan tubuh badannya sahaja. Cara yang lebih adil ialah kerja-kerja di luar rumah menjadi kewajipan suami, sementara dalam rumah pula hendaklah diambil tanggungjawab oleh isteri.

Kedua: Dalam pergaulan sesama manusia dan juga keluarga, setiap hak yang wajib ditunai hendaklah ada balasan yang diterima. Suami dipertanggungjawab memberi nafkah dengan jalan yang terbaik, seperti yang dinyatakan terdahulu. Apakah hak ini telah dibalas oleh isteri dengan cara yang terbaik juga seperti yang sepatutnya? Apakah kewajipan menyara hidup yang disempurnakan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya itu dianggap sebagai percuma dan tidak perlu dibalas apa-apa? Islam dan juga budaya Melayu tidak menyatakan begitu.

Mungkin ada orang menjawab, tubuh badan isteri yang diserah kepada suami itu sendiri bayarannya. Suami berhak mendapat kepuasan sesuka hati dan pada bila-bila waktu sahaja. Alasan ini boleh ditolak dengan mudah, kerana kepuasan itu bukan hak suami semata-mata, tetapi hak bersama.

Jika tubuh badan isteri dianggap hak suami, maka tubuh badan suami juga boleh dianggap hak isteri. Sesetengah orang menyebutnya sebagai nafkah batin yang wajib disempurna oleh suami, sekalipun saya tidak setuju dengan istilah nafkah batin itu.

Ketiga: Suami dikira sebagai qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri, dengan itu isteri hendaklah menjaga kepentingan suaminya. Jika suami bertanggungjawab dengan memasak dan membasuh pakaian isteri, bermakna isteri sebagai pengawal suami.

Ini bertentangan dengan maksud ayat 34 surah al-Nisa. Oleh itu jalan yang paling serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah, manakala suami hanya membantu.

Mungkin ada suami yang bersedia melakukan kerja-kerja itu. Ada suami yang sangat berminat dengan kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, sementara isteri pula berminat dengan kerja-kerja di luar rumah seperti berniaga dan sebagainya. Amalan ini tidak salah dari segi hukum jika suami isteri rela dengan cara itu.

Keempat: Banyak riwayat menyatakan kehidupan harian para sahabat sebagai suami atau isteri, masing-masing memberi khidmat dan bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri al-Zubayr Ibn al-Awwam, selalu membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkut air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya.

Tidak pula kedengaran Baginda Rasulullah melarang Asma’ berbuat demikian dengan alasan semuanya itu adalah kewajipan suami.

Fatimah al-Zahra, isteri Ali Abu Talib dan puteri Nabi, juga melakukan sendiri kerja-kerja memasak dan membakar roti, menyediakan makanan dan mengisar tepung, sehingga menjadi pecah-pecah pada tangannya. Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah atau khadimah.

Tetapi Nabi menyuruh agar Fatimah terus melakukan sendiri kerja-kerja itu. Baginda tidak pula mengatakan, serah saja kepada Ali, kerana itu tanggungjawabnya sebagai suami.

Mungkin ada orang menjawab, sumbangan Fatimah yang membuat kerja-kerja rumah itu hanya sukarela, bukan sebagai kewajipan atau tugas. Saya katakan, kerja-kerja itu adalah kewajipan Fatimah bukannya sukarela, kerana Nabi tidak menerima cadangannya untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjalankan tugas-tugas itu.

Jawapan Rasulullah s.a.w. kepada puterinya Fatimah adalah suatu perakuan yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri. Dalam ilmu Mustalah Hadis, perakuan ini disebut taqrir (perakuan Nabi).

Saya berasa penting juga dinyatakan di sini bahawa tugas isteri pada hakikatnya ditentukan oleh adat resam dan budaya hidup sesuatu bangsa itu sendiri. Masyarakat Melayu telah mewarisi satu budaya yang agak kukuh, iaitu kerja-kerja berat yang biasanya menjadi kewajipan suami, manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi tanggungjawab isteri.

Ditakdirkan ada isteri merasakan adat dan budaya Melayu ini tidak perlu lagi dipertahankan, sudah tiba masanya lelaki dan wanita disamakan. Suami harus menyediakan sendiri makan minumnya, membasuh dan mencuci sendiri pakaiannya.

Bagaimana pula jika dia kesuntukan masa untuk melakukan kerja-kerja itu, lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji? Tidakkah hati tersentuh melihat orang lain berada di samping suami kerana menyediakan makan minum dan mencuci pakaian dan menyentuh barang-barang yang akrab dengannya?

Adat resam dan budaya Melayu tidak pernah menerima cara itu. Janggal sekali jika orang yang tidak ada kena-mengena itu bebas melakukan apa sahaja yang disukainya.

YaQeen Ahmad : Tidak salah sekiranya isteri dibenarkan dengan izin keluar rumah mencari rezeki, suami turut membantu isteri di rumah, walaupun hanya dengan menyenangkan hati isteri sahaja.

Satu Respons to “Nota : Tanggungjawab suami dan isteri”

  1. Bawang Goreng Says:

    Salam,

    Quote : tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan. Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.

    Mmg benar kenyataan di atas. Cuba baca kisah di bawah :

    Seorang lelaki mengunjungi Umar bin al-Khattab untuk mengadu perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu, menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Maka lelaki itupun beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirul-Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?”

    Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi sudah beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul-Mukminin, aku datang untuk mengadu perangai isteriku yang buruk dan suka berleter di hadapanku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku, jika beginilah keadaan Amirul-Mukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku.”

    Umar berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makananku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan karenahnya.”

    Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul-Mukminin, demikian jugalah isteriku? Umar pun berkata kepadanya: “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya karenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja.”

    Lihat jawapan Umar, “padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya.”

    Memanglah BUKAN wajib untuk isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan, dan suami TIDAK boleh paksa isteri melakukannya.

    Ia merupakan satu BONUS jika isteri dengan rela hati melakukannya, berpahala jika dapat menenangkan dan menggembirakan hati suami.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: