“Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?”

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Emel

Saya datang lambat pagi ini kerana membayar bil rumah di Pejabat Pos UKM. Kedatangan satu emel yang bertajuk agak ‘dangerous’ memelikkan saya. (sambil buat muka pelik…) Tajuknya ialah ‘Terima kasih menjadi isteri kedua saya!’. Dalam hati terdetik “Aik?!” tanpa membaca siapa pengirim emel tersebut dan isinya terlebih dahulu…

YaQeen Ahmad : Suka buat muka pelik.

“Oleh kerana dalam blog Aqeen ada banyak cerita pasal kahwin, jadi saya pos kan satu cerita pasal perkahwinan.”

Rupa-rupanya sahabat saya ini ingin berkongsi satu artikel yang sememangnya harus dibaca oleh dai’e-dai’e muslimah kita. Saya pernah membaca artikel seumpama ini suatu masa dahulu. Sememangnya ia berkesan di hati naluri saya.

Artikel itu dipetik daripada blog saudara Mukhtar Suhaili dalam entrinya yang bertajuk Suami yang berjiwa Ahli Arkeologi.

Mula

Suami Yang Baik Berjiwa Ahli Arkeologi!

Sepertimana yang pernah saya nukilkan sebelum ini, apabila membincangkan tentang perhubungan suami-isteri, saya tertarik dengan satu hikmah yang saya dapati hasil pembacaan novel karya Kang Abik ‘Ketika Cinta Bertasbih – Episod 2′. Di dalam novel tersebut dinukilkan:

Suami yang paling baik bagi seorang perempuan ialah seorang ahli arkeologi. Makin tua sang perempuan itu, semakin cinta dan tergila-gila suaminya itu padanya. Maka disarankan kepada para suami untuk berjiwa seorang ahli arkeologi. Semakin lama usia perkahwinan akan semakin bahagia. Kenapa? Ini kerana suami tersebut memandang isterinya semakin bernilai, semakin mahal. Bukankah menurut ahli arkeologi, semakin berusia dan semakin tua sesuatu barang itu akan semakin antik dan mahal. Demikian juga buat para isteri, disarankan untuk berjiwa ahli arkeologi wanita. Maksudnya semakin tua sang suami akan semakin tergila-gila, bertambah sayang dan semakin mencintainya!

Apabila saya membaca hikmah ini, saya terfikir dan suka untuk membuat penambahan. Saya berpandangan, suami sewajarnya tidak berkonsep jurutera/ engineer/ muhandis. Hasil pengalaman kerja saya sebagai seorang jurutera, setiap kali ada teknologi baru, maka teknologi tersebut akan digunapakai menggantikan teknologi yang lama. Teknologi yang lama akan diabaikan! Lebih-lebih lagi sekiranya teknologi lama tersebut sering menimbulkan masalah dan sentiasa memerlukan maintenance untuk membolehkannya mampu berfungsi dengan baik! Teknologi outdated sebegini memang sering (wajar?) untuk terus dilupakan dan di’bakulsampah’kan dan mencari teknologi terkini yang lebih ampuh, mantap dan mapan! Apapun, sekiranya teknologi yang sedia ada masih lagi relevan, terus mengalami proses upgrade dan sentiasa up-to-date, mengapa perlu mencari teknologi baru? Namun begitu, tidak menjadi satu kesalahan pada asasnya untuk menggabungkan beberapa teknologi yang sama canggih, sama robust dan sama sophisticated dalam masa yang sama sekiranya terma-terma sistem dapat dipenuhi. Fikir-renungkanlah… 🙂

“Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?”

Alhamdulillah atas segala-galanya! Sebagai perkongsian dengan tetamu ziarah sekalian, melalui entri ini suka untuk dipaparkan sebuah cerpen yang mencuit dan berpasak di hati yang diperolehi dari salah satu YahooGroups yang disertai. [Kemaskini 2 Januari 2009: Setelah dicari melalui Google, saya dapati cerpen ini adalah karya Saudara ‘Izzat Anwari dengan tajuk asalnya “Sepahit Madu”]. “Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?” merupakan taujihat buat teman-teman seperjuanganku yang Muslimin (sama ada yang belum berkahwin atau belum berkahwin lagi -)). Cerita ini juga saya tujukan khas buat rakan-rakan Muslimat khususnya isteri-isteri solehah di luar sana… Ini satu cerita perjuangan. Sebuah pengorbanan… Sesungguhnya berkorban perasaan merupakan satu jihad!

Nota: Tergiang-ngiang lagu Cita-citaku!!

Sang Suami;

Muhtar Suhaili

“Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?”

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fulanah mula sebak.

“Tak. Maksud saya…”

“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fulanah dengan kasar.

“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fulanah’ di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.

Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya yang berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang Muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai Muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fulanah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian.

Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fulanah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.

Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.

“Err, err, betul ke ni?!” tergagap Fikri apabila menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut hati kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, menghadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

“Perjuangan!!” jawab Fikri.


Sedarlah semua kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan,

Bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini…

Tetapi anda adalah bakal isteri kedua!!!

Kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!!!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu…

Adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan Islam

Bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu!

Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu…

Dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan Islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah hakikat…

Anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya

Atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu!!!

Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya,

Kerana suami yang pertama bagi isterimu…

Ialah perjuangan Islam dan memartabatkannya!

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai Islam dan memperjuangkan Islam.

Jika dirimu tidak sedemikian,

Sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu!

Bantulah isterimu dan kuatkanlah dia untuk teruskan perjuangan!!!

Tamat

YaQeen Ahmad : Sekarang ini era teman-teman berkahwin, banyak cerita dan iktibar di sekitar itu.

Advertisements

8 Respons to ““Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?””

  1. 'uyun Says:

    isteri pertama ko : kerja
    isteri kedua ko : master
    isteri ketiga ko : bagi duit kat adik-adik
    isteri keempat ko : bagi duit kat adik-adik

  2. TaRoTiTo Says:

    “Oleh kerana dalam blog Aqeen ada banyak cerita pasal kahwin, jadi saya pos kan satu cerita pasal perkahwinan.”

    Macam pernah ku kenal ayat ini…Tapi dimana ya????

    Ala tak bestla nak jadi engineer camni..nanti takde orang nak pulak…. Takpe saya nak jadi engineer berfikiran arkeology lah… OK TAK…

  3. YaQeen Ahmad Says:

    ‘Uyun : aku betulkan sikit
    suami pertama sekarang : study
    suami kedua sekarang : kerja
    anak angkat sekarang : tuisyen
    moga daku berbahagia… kerja makin banyak sih… huaaa!

    TaRoTiTo : Nak jadi apa-apa okey je. Lillahi Taala… Diri kita, kita yang bentuk.

  4. 'uyun Says:

    ko sesat ni in, ko ade 2 suami? ish3

    aku tak tulis suami, sebab aku tak nak sesat… sebab tu aku tulis isteri empat… ish3

    kembalilah ke pangkal jalan in… aku bersangka baik dengan ko di hari jumaat. aku kan nak menerangi orang lain….jadi, aku bersangka baik la….

    sabar ye …

  5. YaQeen Ahmad Says:

    ceh! Terkena!
    Okey la sikit daripada beristeri… lagi sesat… lagi la beristeri 4… lagi sesat… Astaghfirullah….

    Bersangka baik lah… sebab mungkin aku lebih baik… hoho~

  6. TaRoTiTo Says:

    em mcm2 je dua beradik ni…. sesatla itula inila…..
    ni saya ni ade 4 lg kuota… so sape yg mana 1 nk jadi no 2 dengan no 3 ni….hehe

  7. YaQeen Ahmad Says:

    En. TaRoTiTo ni bercerita dah terkeluar dari orbit ni. Ambil tiket bas, kembali ke planet semula ya.

  8. 'uyun Says:

    En Torotito, mintak maaf banyak2 la. kami ni masing2 tengah gian studi ni…. nak bernafas 100% dulu. Orrite.. selamat berjaya la en torototo (ha, kan dah salah eja…)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: