Telahan Kasar

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Emel ini saya sampaikan kepada Abah pagi tadi.

*     *     *     *     *

Semalam baru jumpa dengan pensyarah, Alhamdulillah, tajuk disokong. Sekarang Ekin tengah kaji unsur-unsur sejarah dalam pantun Melayu lama dan kaitannya dengan Matematik secara mantik (logik).

Contohnya,

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Orang dulu-dulu tidak mempamerkan satu-satu pantun itu untuk satu bahan yang suka-suka atau sia-sia. Ia sebenarnya mengisahkan satu sejarah pada zamannya sendiri.

Seorang pensyarah dari Malaysia telah ke Indonesia sendiri untuk mencari di manakah Pulau Pandan. Dengan bantuan penduduk setempat di Indonesia sana, maka pensyarah tersebut dapat juga ke Pulau Pandan itu. Dan di sana, memang ada gunung yang bercabang tiga. Berkemungkinan itulah Gunung Daik. Namun, disebabkan faktor geografi, gunung itu hanya tinggal dengan bercabang dua.

Alhamdulillah, sekarang kena banyak membaca sejarah-sejarah lama. Dan banyak lagi. Disebabkan orang Melayu buta sejarahlah, tidak minat dengan arkeologi, dan perubahan georgrafi, maka mereka pupus jatidiri dan hilang semangat berjuang untuk bangsa dan agama.

Orang Inggeris mudah menawan orang Melayu juga disebabkan ini. Mereka menyeludup masuk secara senyap-senyap dan licik. Malah dengan agenda berkahwin campur, berbuat-buat baik dengan melaburkan modal pusingan, memberi hadiah, dan menjadi orang tengah dalam pergaduhan, adalah semata-semata mahu menawan hati orang Melayu, seterusnya campur tangan tadi beralih kepada pengambilan kuasa mutlak negeri-negeri.

Mereka juga menghantar orang-orangnya (Amerika/British/negara-negara penjajah) untuk menjadi mata-mata bagi mengkaji budaya rumpun orang Melayu untuk kajian mereka. Sebab itulah, terciptanya periuk nasi oleh teknologi Jepun, walhal kita yang makan nasi dahulu. Wallahua’lam.

Sekarang ini, Ekin sedang mengumpulkan bahan-bahan yakni pantun-pantun yang ada perihalnya dengan budaya orang Melayu dulu-dulu, sejarah orang Melayu dahulu/kuno… Abah mesti banyak simpan idea. Bolehlah tolong Ekin kali ni. Kira macam kita belajar sama-sama.

Contoh pantun :

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba terbiar lalu.

Pengkajian : Simboliknya, pada zaman dahulu, orang kampung memang berdagang/berniaga sebagai sumber mata pencarian. Pantun ini menunjukkan sifat rendah diri yang ada pada orang Melayu telah berjaya menonjolkan nilai etika yang murni di zaman itu.

Selain daripada itu, moral yang lainnya, jika kita hendak berdagang/berniaga, patutlah kita perdanakan lokasinya. Sepertimana teori perniagaan, jika hendak berniaga ada 3 syarat. Yang pertama : lokasi, yang kedua lokasi, yang ketiga juga lokasi.

Malah jika dikaitkan dengan zaman Rasulullah s.a.w., keazamanan, kesabaran, dan sifat rendah diri yang ada pada Rasulullah s.a.w., Baginda telah berjaya berdagang di zamannya merata-rata tempat dan lokasinya amat strategik sebagai medan untuk berdagang. MasyaAllah…

Dagang hamba terbiar lalu memaksudkan bahawa, dengan salah memilih lokasi yang sesuai, apa yang kita dagangkan juga tidak akan mendapat tempat di hati pengunjung.

Justeru itu, dalam mengaitkannya dengan Matematik, ada satu istilah yang kita namakan sebagai mantik/logik. Kita boleh membuat kesimpulan bahawa :

Jika mahu berdagang maka pilih lokasi yang tepat.

Wallahua’lam. Ini sekadar telahan umum dan kasar Ekin. Mungkin penceritaannya lebih banyak lagi, tetapi Ekin masih berada di awal pembacaan. InsyaAllah Ekin akan kongsikan dengan abah perkara-perkara yang menarik dan tentunya abah punyai hujah-hujah yang power boleh dicurahkan kepada generasi-generasi muda.

Ini adalah buah fikiran yang datangnya daripada pertemuan dengan Prof. Madya Mat Rofa, pensyarah Matematik di UPM semalam. Beliau telah menerbitkan banyak buku yang menegaskan tentang pembetulan fakta, percanggahan fakta, dan apa yang sepatutnya setiap para penyelidik perlu lakukan. Doakan perjalanan kehidupan Ekin…

YaQeen Ahmad : Saya panjangkan emel ini kepada Prof. Madya Dr. Mat Rofa sendiri. Komennya, “Menarik.”

5 Respons to “Telahan Kasar”

  1. Along Says:

    nice aqeen.aku pon x pernah terfikirkan hal ni.erm..da proceed ke tajuk?menarik n menarik.Sepatutnya kau ni mmg kena amik bm lah,hehehe.’Buah cempedak di luar pagar,ambil galah tolong jolokkan,saya budak baru belajar,kalau salah tolong tunjukkan’.ni je pantun yang aku paling suka.yang penting kau berusaha dan aku YAQEEN kau mesti boleh.walaupun penulisan pertama aku rasa sangat menarik.sebab x pernah jumpa lagi bahan semacam ini.lau ada pape yang kau nak kongsikan,bgtaulah ye?mana tau aku pon boleh sama belajar.

  2. YaQeen Ahmad Says:

    Salam alaik Long, terima kasih sudi singgah. Aku rasa bertuah sangat jumpa kau dan kebetulan kau sedang ambil Sarjana Bahasa Melayu. Aku sangat rasa bersyukur sebab ada kawan aku sendiri ingin mendalami bidang tersebut.

    Ada frasa, dan aku pernah keluarkan satu kenyataan. Mengapa orang Melayu senang terjajah? Jawapannya, kerana dia tidak berada benar dalam agamanya, Islam, kerana dia tidak tahu bahasanya, Bahasa Melayu, dan kerana dia tidak kenal bangsanya, Melayu. Ketiga-tiga aspek ini tidak boleh dipisahkan. Malah aku sendiri entah-entah tersasar juga tanpa sedar. Nau’zubillah…

    Maka, amat bertuahlah kalau kita sedar dan memartabatkan kembali budaya-budaya murni orang Melayu yang postif agar dapat ditonjolkan melalui akhlak sepertimana Rasulullah sangat mementingkannya.

    Bertuah jugalah aku kalau-kalau kau sudi membantu andainya ada kumpulan-kumpulan makalah dalam simpanan kau yang boleh membantu aku. InsyaAllah, ini jihad kita.

    Boleh sahaja aku kongsikan apa ilmu yang aku ada. Ilmu yang sikit, kalau dikongsi, malah ia bisa bercambah dengan lebih mudah, berkembang dan terus boleh menjalar menusup ke pengetahuan umum. Alang-alang pasti kau boleh menegur karangan aku nanti. Mari kita berusaha Along!

    Nantilah, kita usahakan pertemuan ya.

    Nota: Salah satu budaya orang Melayu yang murni sehingga sekarang, kita akan mengangkat tangan sambil tersenyum pabila terserempak dengan orang yang dikenali. Apa simboliknya? Macam ‘jumpa-jumpa semut’ kan? (^_^)

  3. alFaisal Says:

    Assalamua’laikum,

    Sebuah kajian yang menarik. Tak sabar nak membaca lebih lanjut hasil kajian tu nanti. Cuma saya ingin lebig jelas lagi, cik Yaqeen ada menyebut,

    “Mengapa orang Melayu senang terjajah? Jawapannya, kerana dia tidak berada benar dalam agamanya, Islam, kerana dia tidak tahu bahasanya, Bahasa Melayu, dan kerana dia tidak kenal bangsanya, Melayu.”

    Dari apa yang saya faham, cik Yaqeen menyatakan bangsa kita mudah dijajah kerana tidak tahu bahasa dan bangsa. Kalau dilihat dalam sejarah, bangsa kita mula terjajah (baik fizikal dan mental) bukan pada zaman moden, tetapi semenjak zaman di mana saya percaya penguasaan bahasa Melayu jauh lebih baik daripada hari ini. Boleh cik jelaskan lebih lanjut, apakah ini bermakna ketika bangsa Melayu mula terjajah, penguasaan mereka terhadap bahasa Melayu tidak cukup ampuh? Saya dahulukan dengan terima kasih. Berbesar hati kalau cik Yaqeen dapat berkongsi ilmu dengan saya yang dhaif ni =)

  4. smh Says:

    salam..
    menarik kajian ini. TAHNIAH!
    best coz ada kaitan dgn sejarah.sejarah mmg sgt important.huhu~ minat pulak skrg coz dah kena ajar sejarah skrg ni.

    erm..
    jangan kita lupa bahawa sewaktu ketika dulu, bahasa melayu (BM) telah dijadikan bahasa perantaraaan (lingua franca). ia nya telah digunakan oleh masyarakat seluruh dunia apabila datang berdatang di kepulauan Tanah Melayu (melaka). segala urusan perdagangan menggunakan bahasa melayu. bukan bahasa inggeris seperti pada hari ini. dimanakah silapnya?

    pada pendapat saya, kita semua tidak sedar. ini semua berpunca daripada ilmu pendidikan kita. ilmu sangat penting kepada setiap insan. kita akan menuntut ilmu dari dalam buaian hingga akhir hayat kita. atas sebab itu org kristian telah sedar akan hakikat ini dimana dalam perang salib lagi dia telah membakar semua buku2 ilmuan islam. kemudian mencuri ilmu tersebut dan menerbitkan buku hak milik diorang. (yer kut) =)

    klu kita tengok semasa penjajahan jepun terhadap tanah air kita pun. tentera jepun memaksa semua penduduk tanah melayu menghafal lagu negara jepun.bila british menjajah pun mereka telah menghadkan pendidikan org melayu agar tidak melawan mereka.

    saya sering terfikir. kenapa dalam ilmu sains, apabila kita study, kanapa sering di highlight kan org2 barat. dimanakah nama2 tokoh ilmuan islam seperti ibnu sina dll. kita lebih mengetahui ilmuan barat berbanding ilmuan islam. kesan perang salib.

    cintailah BAHASA kita!

    harap qeen dapat memberikan pendapat yg lebih bernas terhapa comment ini.tq~

  5. YaQeen Ahmad Says:

    Petikan ini saya salin daripada blog sifu, Pn. AInon, PTS.

    Mula.

    UNESCO (1951:691) telah meluluskan resolusi pendidikan yang berbunyi:

    On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.

    Terjemahan: Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah.

    Tamat.

    Mari teruskan di sini : http://universitipts.com/index.php/site/comments/golongan_celaka_baca_ini/

    InsyaAllah, paparan di atas ada sedikit sebanyak boleh mewakili pihak saya secara individu tentang persoalan saudara-saudara. Namun yang demikian, saya akan cuba kupas lagi buat perkongsian bersama. “Saya bukan yang terbaik, tetapi saya cuba yang terbaik.”

    Buat alFaisal dan smh, terima kasih kerana sudi singgah di teratak maya saya dan ucapan salam ukhwah saya hulurkan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: