Mawar Berduri 3

Mereka berdua bersalaman dan berpelukan seusai solat Isya’ berjemaah. Mawar mengusap ubun-ubun Raudhah.
Bagai anak kecil dipujuk, Mawar menuturkan kata dengan lembut, “Raudhah tak baik kau pendam saja. Nanti fikiran terganggu, susah pula kau nak buat ulangkaji. Peperiksaan akhir semester tinggal seminggu saja ni.”


Raudhah yang kelihatan sugul, akhirnya membutirkan apa yang terbuku di dalam hatinya. “Achik, aku tak tahu nak mulakan dari mana.”
Mawar menjawab, “Terpulanglah Raudhah dari mana kau ingin cerita.”
Raudhah masih tunduk. Dia tidak dapat mengangkat wajahnya. Terlalu berat untuk dilihat Mawar ketika ini. “Ibu aku telefon tengahari tadi.”
Sambil melipat kain sejadah, Mawar membalas, “Kemudian?” dia mahu Raudhah meneruskan ceritanya.
Raudhah melabuhkan duduknya di hujung katil. “Ibu beritahu adik lelaki aku telah ditangkap polis kerana disyaki mengedar dan menghisap dadah petang semalam. Hancur hati kami, Achik.”
Raudhah menangis lagi. Dalam nada tersekat, dia meluahkan peristiwa petang semalam yang diceritakan ibunya. Orang kampung mula menuduh adiknyalah yang menjadi dalang anak-anak muda di kampung itu menjadi ‘Mat Gian’. Sementelahan ibunya hanya tinggal dua beranak di rumah, Raudhah risau akan ibunya yang keseorangan. Adiknya di lokap, tidak tahu apa ceritanya lagi. Hatinya meronta-ronta mahu balik ke kampung.
Dia mengesat air matanya. Berat sungguh tugas anak sulung yang dipikulnya. Mawar mengurut-urut belakang badan Raudhah dengan harapan sahabat karibnya itu berasa lega sedikit.
Dia memujuk, “Raudhah, kau teruslah tidur. Jangan banyak berfikir. Nanti kau sakit, satu perkara pun tidak selesai. Tidur ya.”
Raudhah membenamkan mukanya ke bantal. Selimut di bawah bantalnya hanya dipeluk sahaja. “Terima kasih, Achik.”
Dengan senyuman, Mawar menjawab, “Sama-sama.”
Mawar menyambung kerja kursusnya yang tertangguh sejak petang tadi. Ditoleh ke Raudhah yang kelihatan sudah tertidur keletihan. Hatinya yang tertanya-tanya tadi sudah terjawab.
Namun, masih ada satu lagi perkara yang belum diceritakan oleh Raudhah. Kerana tidak mahu memanjangkan sedih Raudhah, Mawar membatalkan niatnya untuk bertanya tentang Hamid, seorang kenalan maya Raudhah. Dia tidak terlalu tahu tentang Hamid. Cuma hanya dalam pengetahuannya, Hamid adalah seorang pemuda yang berasal dari Terengganu dan 13 tahun lebih tua dari usia mereka.
Tok. Tok. Tok. Kedengaran pintu bilik diketuk dari luar.
Kedengaran namanya dipanggil dari luar pintu, “Assalamualaikum, Achik oh Achik.”
Mawar menjawab salam dan membuka pintu bilik A233. “Wa’alaikummussalam. Oh, ya Syauqah El Wardah. Lewat singgah bilik hamba?” Mawar tersenyum sambil bersalam dan menjemput sahabat sebelah biliknya untuk masuk.
Syauqah mencebik. “Amboi, siap nama penuh lagi. Maaf ya, tiada buah tangan boleh diberi andai tuan puteri berjaya menyebut nama penuh hamba,” kata Syauqah sambil mencubit lengan Mawar.
Mawar menutup pintu bilik dengan perlahan, takut-takut Raudhah terjaga. Mawar menyorong kerusi kepada Syauqah, dia pula duduk di atas katil.
Mawar bertanya, “Syauqah hendak pinjam buku apa?”
Syauqah meramas-ramas jarinya. “Buku Biografi Muhammad bin Abdullah. Bolehkah?
Mawar mengangguk. “Kebetulan sekali, saya baru sahaja selesai membacanya.”
Syauqah tertawa kecil. “Alhamdulillah, saya datang tepat pada masanya.”
Mawar menyerahkan buku tersebut kepada Syauqah. “Kalau sudah selesai membacanya, bolehlah kita bincang bersama-sama isi buku ini.”
Dia menyambung lagi, “Hati-hati menyelak helaiannya, jangan sampai terlipat. Hendak menanda dengan penanda buku ya,” katanya lembut.
Syauqah tersengih kecil. “Baik tuan hamba. Syarat itu hamba telah hadam sejak mengenali tuan puteri yang manis ni.”
Syauqah berkerut, “Awalnya Sang Burung Hantu ni beradu. Bukan dia ke penjaga malam kita. Apa sudah jadi?”
YaQeen Ahmad : Sekarang, saya buka kepada sesiapa yang sudi menghulurkan buah fikiran kepada sambungannya… Saya tunggu ya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: